|
Nota: catatan peribadi isteri saya khas untuk dihayati oleh semua terutamanya kaum Hawa!! Kisah sepasang suami isteri yang dilanda dilema poligami...
“Apa lagi yang kurang pada saya…sejak kita kahwin sampai sekarang saya telah korbankan banyak tenaga dan masa, bekerja demi membantu abang mengukuhkan lagi kewangan keluarga kita!” “Tak cukupkah semua yang telah saya lakukan ini ..apa lagi yang abang nak, sampai hati abang….” luah si isteri sambil menangis tersedu-sedan mengenangkan si suami ingin berkahwin lagi. “ Saya bekerja siang malam, sanggup balik hingga jam 12 malam kerana menguruskan restoran kita dan abang tak ingat ke dulu abang cuma seorang ‘Jaga’ saja, pendapatan pun tak seberapa..” sambung si isteri menumpahkan apa yang terbuku di hati. Si suami di sebelahnya terus tunduk membisu, seolah-olah ada kebenaran pada kata-kata si isteri.
‘Kahwin lagi…’ ia ibarat halilintar dan panahan petir yang membelah dan membakar telinga seorang isteri. Rumahtangga mula berkocak, anak-anak menjadi mangsa perselisihan yang berlaku, tanggungjawab dan peranan isteri mula terabai… Umpama hidup ini akan berakhir tanpa belas dan simpati. Di mana silapnya…? Inilah hakikat yang berlaku dan inilah juga mentaliti kebanyakan mereka di luar sana yang tidak dapat mempertimbangkan sewajarnya hak-hak poligami yang dasarnya termaktub di dalam Al-Quranul Karim.. Isteri dengan emosinya cuba sedaya upaya mencari kelemahan suami untuk menafikan haknya berpoligami. Air mata dijadikan senjata dan pengorbanan selama ini pula diungkit kembali. Ditambah dengan keegoan diri untuk menidakkan hukum Allah dan RasulNya ini. Tidak dinafikan bahawa perempuan punya satu akal (logik) dan sembilan nafsu (emosi), lelaki pula sembilan akal (logik) dan satu nafsu. Perempuan tidak dapat berfikir panjang dan tidak dapat membuat tindakan normal dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang berlaku sekiranya dia menggunakan emosinya untuk berfikir . Kerana itu menjatuhkan talak bukan hak isteri kerana Islam mencegah lebih awal dari berlaku kepincangan yang lebih besar sekiranya perempuan membuat keputusan berpandukan emosinya. Sebaliknya dia dapat bertenang menghadapi situasi-situasi rumit ini bilamana dia menggunakan logik akalnya berfikir secara rasional berhadapan dengan masalah yang menimpanya. Memang benar, perempuan mana yang tidak terguris hatinya bilamana suami berhasrat untuk kahwin lagi. Tetapi sebagai seorang mukmin yang percaya kepada Allah dan RasulNya dan segala yang termaktub di dalam Al-Quran, adakah satu-satunya hukum Allah ini kita nafikan? Di mana letaknya rasa bertuhan kita itu? Isteri selalu meletakkan kekurangan para suami di hadapan, tetapi pernahkah isteri bermuhasabah diri, menilai di mana pula kedudukan isteri di hadapan Allah dan suaminya? Inilah persepsi yang silap dikalangan wanita-wanita Islam kita pada hari ini. Bukan saja berlaku kepada mereka yang cetek ilmu agamanya tapi yang bergelar ustazah-ustazah pun lebih lantang bersuara membantah hukum berpoligami ini. Islam agama yang adil, tidak sekali-kali meletakkan hukum yang bukan pada tempatnya. Bahkan Islam meletakkan garis-garis panduan bagi memberi keadilan kepada suami dan isteri agar hak masing-masing tidak terabai. Islam tidak akan meletakkan sesuatu hukum itu melainkan ia terkandung seribu satu hikmah padanya. Islam tidak akan menghalalkan atau mengharamkan sesuatu itu melainkan akan datang kebaikan-kebaikan disebaliknya. Sungguh hina kita ini dibandingkan dengan Ummul Mukminin dan wanita-wanita solehah yang terdahulu. Mereka mendahulukan suami dari yang lain-lainnya. Mereka mengejar syurga di bawah telapak kaki suami-suami mereka. Mereka takut akan azab-azab Allah…dan mereka sentiasa mengharap menjadi isteri-isteri yang solehah, penyejuk mata suami dan penyubur iman dan taqwa sang perwira…….Bukankah ini harapan kita sebagai serikandi-serikandi yang menjadi tulang belakang suami-suami yang dicintai. Ayuh, buanglah keegoan diri yang kelak akan menghancurkan diri. Matlamat kita bukan untuk mengejar dunia yang sebentar ini, tapi mencari keredhaan Ilahi dalam kehidupan akhirat yang abadi, yang menjanjikan Syurga Firdausi di sana nanti. |