|
Pada satu Ramadhan yang lepas bertepatan dengan 1.9.2008 Saya membulatkan tekad untuk berhenti daripada menjadi kakitangan kerajaan dan perkhidmatan akhir saya adalah sebagai pensyarah di Darul Quran JAKIM Kuala Kubu Bharu yang banyak meninggalkan kenangan. Keputusan yang bukan senang untuk dilakukan.
Gaji dan elaun yang hampir dengan 4K secara tetap dalam sebulan digantikan dengan pendapatan yang tidak menentu setiap bulan dengan bekerja sendiri. Tetapi bukanlah itu tujuan dan cita-cita saya. Dan saya rasakan hampir semua manusia bercita-cita untuk bekerja sendiri sebagai bos kepada diri sendiri, cuma masa dan ketika sahaja yang menentukan. Pun begitu tak semua yang mampu berbuat demikian kerana apabila dia melihat potensi, sikap yang ada pada dirinya sendiri melalui proses yang lama dan panjang dari di bangku sekolah hinggalah ke saat ini membantu untuk seseorang membuat keputusan tentang kerjaya yang hendak diceburinya. Ada yang tak boleh nak mencipta kerja dan hanya boleh dan selesa menerima arahan maka makan gajilah yang sesuai baginya, ada yang sangat meminati kerja-kerja kebajikan kepada manusia lantas menjadi doktor yang setia berkhidmat dengan kerajaan dan tak berminat pun untuk membuka klinik sendiri, tak kurang juga yang merasakan tangannya menjadi dan serasi apabila mengusahakan sesuatu dalam bidang pertanian, maka dia menjadikan pertanian adalah satu perniagaan. Proses ini panjang dan mudah dikesan akan kecenderungan bakat serta kemahiran dengan mengikuti sistem sosial yang normal di luar sana. Bukan dengan cara ponteng sekolah, tak bergaul dengan manusia, tak berkomunikasi dengan manusia sekeliling, maka semakin lamalah untuk mengenal kecenderungan dan kekuatan diri kita. Setelah saya mengesan bakat, peluang, kekuatan dan kelemahan melalui SWOT analisis tak kurang juga dengan meminta pandangan beberapa tokoh di Malaysia yang telah bertindak kehadapan dulu berbanding saya seperti Dato’ Dr Fadzilah Kamsah, Ustaz Zawawi Yusof, Ustaz Wan Akashah, Us Khairuddin Aman Razali al-Takiri sahabat-sahabat lain dan yang sangat penting ibu bapa dan isteri yang dicintai. Alhamdulillah kesemua mereka memberikan galakkan dan dorongan bahkan antara kata-kata menarik yang saya terima ialah “ Bertindaklah, ana yakin anta boleh, dan anta akan rasakan bumi Allah ni luas”, tak kurang juga yang mengatakan “cepat bertindak syeh. Ingatlah.. Hassan al-Banna pun pernah berpesan supaya bekerja dengan hasil tangan sendiri”. Lantas permainan minda hampir 2 tahun yang berlegar-legar untuk berhenti ini di tamatkan pada tarikh keramat tersebut. Kini cukup setahun ianya berlalu.  Kembali kepada cerita Darul Quran yang saya berada di sana pada bulan Jun 2005 setelah berkhdimat di SMK Batu Muda Kuala Lumpur hampir 2 tahun yang juga meninggalkan 1001 kenangan. Antara pengalaman yang manis yang tidak boleh dilupakan di sekolah lama ialah saya rapat dengan pelajar yang dipandang bermasalah bahkan boleh keluar satu kereta bersama mereka pada waktu malam. Menceritakan dunia mereka yang beranjau liku itu. Saya cuba memahami dunia mereka sebelum minta difahami kehendak saya kepada mereka. Bahkan ada satu ketika ketika saya mengajar sebuah kelas subjek Pendidikan Islam dan tak lama kemudian terpaksa berpindah kelas dan tidak mengajar lagi kelas tersebut kerana rombakan jadual waktu. Mereka sanggup mengumpulkan tandatangan satu kelas menyatakan kepada guru penolong kanan akademik untuk tidak menukarkan saya ke kelas lain dalam mata pelajaran tersebut, tetapi ianya gagal. Dan ianya seakan berulang di Darul Quran ketika saya mahu meninggalkan Darul Quran dengan keputusan yang mengejutkan ramai pihak itu dimana pelajar-pelajar yang dipandang berrmasalah juga beria-ria menyusunkan majlis perpisahan dengan saya, memberikan hadiah, kad ucapan, bergambar sakan dan memeluk erat pemergian saya. Bahkan masih menelefon untuk bertanyakan khabar berita saya. Hampir-hampir sahaja nak menitik air mata jantan saya dibuatnya. Satu yang saya mungkin boleh simpulkan ialah kesungguhan saya bukan sekadar untuk mengajar mereka tetapi mendidik mereka menjadi manusia yang kenal tuhan disamping terjun ke dalam diri mereka untuk memahami mereka. Hasilnya saya diangkat oleh persatuan pelajar maahad tahfiz di sana sebagai penasihat mereka selama dua penggal lamanya walaupun diri ini penuh dengan kekurangan dan bukan pula bergelar al-Hafiz.
Bahkan bukan pula ahli dalam bidang qiraat. Sedikit pertikaian dikalangan mereka tentang status saya yang saya anggap bukanlah kerana penyakit hati moganya tetapi sekadar bertanya khabar sesama muslim, dan saling ingat mengingati. Tetapi saya terus mendalami dan mahu belajar ilmu quran. Walaupun seolahnya saya merasakan ada sesetengah mereka yang merasa terlalu eksklusif dan mulia apabila tahu wajah qiraat yang banyak sedangkan orang lain tak tahu. Gejala ini juga adakalanya berlaku kepada para qari al-Quran yang pandai bertarannum dan suka mempertikaikan keputusan juri yang tidak memenangkan dirinya. Seolah sudah hilang tujuan asal membaca al-Quran sebaliknya untuk bermegah-megah dan minta dimuliakan dan mengutuk pula sahabat lain dihadapan halayak ramai untuk menunjukkan seolahnya dialah yang terhebat. Setahu saya manusia ni tiada nilai langsung di sisi Allah melainkan ketaqwaan yang ada pada dirinya. Rasmi orang alim lagi berisi lagi tawaduk, dan kesalahan bukan dicanang tetapi diperbetulkan dan dibimbing. Sedarlah saya yang manusia yang bergelar ustaz, al-Hafiz, profesor juga adalah manusia yang perlu memuhasabah diri sebagai seorang hamba Allah. Inilah juga mungkin kesan daripada sistem pendidikan yang tidak menekankan pendidikan tetapi lebih dikenali sebagai exam-oriented. Sedangkan pelajar memang tak suka exam. Belajar hanya untuk mendapatkan maklumat tetapi bukan kesan ke dalam kehidupan untuk menambah kuatkan keimanan kepada Allah. Pengalaman ini bukanlah untuk mengangkat diri sendiri tetapi satu luahan ikhlas yang boleh dijadikan pengiktibaran bagi kita yang masih hidup di dunia yang sementara ini. |