|
"Aku adalah pengejar syurga akhirat, bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat; aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu. Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat,dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas. Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku"... - Ustaz Asri Rabbani
Baru lebih kurang sebulan merakamkan rancangan tadarus al-Quran untuk Ramadhan siaran di Astro bersama Ustaz Asri Rabbani, tiba-tiba beliau pergi tak kembali. Terasa baru semalam bersamanya. Beliau yang saya kenali adalah seorang yang berakhlak mulia, lemah lembut,dan mudah didekati, Sebelum mengenalinya saya juga turut mengenali adiknya Fadzil yang belajar bersama di Jordan dahulu yang tidak sempat saya temuinya pada ketika memandikan jenazah Allahyarham. Berita kematian diterima ketika saya berceramah sempena menyambut Ramadhan di Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara dan kebetulan pula sedang membicarakan tentang kematian dan saya juga ada tersebut perkataan “pergi tak kembali”. Sejurus selepas itu datang seorang audien meluru dan membisikkan sesuatu kepada saya yang Us Asri sudah pergi tak kembali di Hospital Pantai kerana sakit jantung.Terus kami bertafakur dan sama-sama menyedekahkan Al-Fatihah kepada Allayahram.Keadaan terganggu seketika dan mood untuk ceramah sedikit terganggu, namun ianya perlu diteruskan. Saya cuba menjeling telefon yang di “silent” kan tu, ternyata banyak sekali missed call dan sms yang masuk yang saya sudah jangkakan tentang maksud sms dan panggilan itu.  Semua yang di situ juga merasakan kehilangan seorang insan yang banyak berdakwah melalui nasyid yang dialunkan. Saya juga mengenali nasyid ketika kecil dahulu adalah melalui album-album beliau yang menusuk qalbu bila mendengarnya.Saya berniat untuk menziarahinya sejurus selepas ceramah selesai dan ianya dimakbulkan apabila kakitangan jabatan turut serta dan saya menumpang mereka dalam satu kereta yang sama. Saya memastikan yang jenazah masih ada di hospital melalui talian hayat rakan-rakan yang terdekat. Jelas di sini pentingnya menjalin hubungan sosial dan bukannya hanya menjadi bagai katak di bawah tempurung yang tak kenal siapa kalau kenal pun mungkin sekadar di alam maya sepert YM, FB dan seumpamanya. Maklumat menyatakan yang jenazah masih berada di hospital. Setibanya kami di sana ramai rakan artis yang sudah tiba termasuk Amy Search yang sedang ditemubual wartawan. Terharu sekali saya diberi penghormatan untuk dibenarkan masuk ke bilik jenazah untuk melihat jenazah pada asalnya tetapi kebetulan pula jenazah sedang hendak dimandikan dan saya turut serta memandikan Allayarham dan saya mengawal selia dan membantu memandikannya dibahagian kepala Allahyarham. Terasa sangat sebak dan hiba dengan wajah sayu Ustaz yang baru rasanya semalam bertemu. Inilah kali pertama saya memandikan jenazah dalam hidup saya. Pengalaman yang sangat berharga dan sukar dilupakan. Sebelum saya memasuki bilik jenazah tadi saya melihat anak-anak beliau dan kaum keluarga terapat yang sugul dan sedih mendapat berita yang mengejutkan ini. Paling saya sayu apabila melihat wajah anak kecilnya yang menangis teresak-esak dan anaknya yang ketiga dan keempat; Nur Atiqah dan Ilham Fikri juga merupakan salah seorang murid saya dalam rancangan tv “Ustaz Zamri bercerita”. Aduh sedikit rasa bersalah kerana tidak sempat memeluk dan mengusap kepalanya sambil memberikan kata-kata perangsang.  Ilham Fikri 10 tahun - anak Ustaz Asri yang ke 4 yang merupakan anak murid saya dalam Ustaz Zamri Bercerita - anak bongsu Ustaz Asri; Hamdi Rabbani- 3 tahun
Nabi ada menyebut "Sesiapa yang tidak menyayangi dia tidak akan disayangi" Campakkanlah nilai kasih sayang yang subur di jiwa mu berbanding perasaan kebencian dan penuh kedengkian bagi menjadikan masyarakat yang berkasih sayang kerana Allah. Sekembalinya saya masih merasakan kedukaannya bahkan merasakan masih longlai pada malamnya untuk melakukan sebarang aktiviti. Saya tak berkesempatan untuk turut serta ke rumah almarhum dan mengebumikannya. Saya sisipkan dengan sekalung doa agar almarhum sejahtera di sana. Hari ini hari beliau, entah esok lusa hari kita pula. Soalannya sudahkah kita bersedia untuk ke sana? Nabi juga ada menyebut “ Cukuplah dengan maut sebagai penasihat“. Ziarahlah kubur,uruslah jenazah agar jiwa ini lembut untuk tidak terlalu mencintai dunia yang fana ini. Sebaliknya menjadikan dunia ini jambatan untuk menuju ke sana. Al-Fatihah.. |