|
Ceramah yang kerap ke sekolah-sekolah sempena bulan Isra’ dan Mikraj secara tak langsung memberi pengajaran kepada penceramah sendiri dalam rangka mengukuhkan lagi kefahaman tentang agama. Moga-moga Allah masukkan diri ini ke dalam hadis yang nabi sabdakan ”Sesiapa yang Allah nakkan kebaikan kepadanya maka Allah akan berikan kefahaman agama yang baik kepadanya” bukannya rezeki yang mencurah atau keluarga yang bahagia tetapi kefahaman dan ilmu.
Setelah nabi dipercayai di seluruh Mekah dengan kejujuran dan “al-Aminnya” bahkan kepercayaan orang Mekah terhadap nabi dalam menyelesaikan pertikaian beberapa qabilah untuk meletakkan hajar al-Aswad ke tempatnya, nabi selepas itu mula merasakan gelisah dengan kerosakkan peradaban masyarakatnya dengan menanam anak perempuan hidup-hidup, ketagihan arak yang melampau, penindasan kepada golongan yang lemah, dan bermacam lagi yang menyebabkan nabi beruzlah di Gua Hira’. Akhirnya nabi menerima wahyu di sana. Dalam konteks menjadikan sejarah sebagai satu yang realistik tambah pula sejarah itu adalah sejarah nabi, siapakah orang yang jujur dan baik semenjak kecilnya, menonjol syakhsiah dirinya dan disukai ramai kemudian hilang dari masyarakat dan kampungnya untuk beruzlah mencari ketenteraman mungkin mencari ilmu Allah yang maha luas itu bagi membaiki masalah yang timbul dalam masyarakatnya? Anda bebas meletakkan siapapun. Bila nabi dilantik menjadi rasul untuk menyampaikan dakwahnya, ia dimulakan dengan sembunyi-sembunyi dan yang menyokongnya ialah dari golongan hamba, fakir miskin, lemah dan tidak berharta. Kenapa tabiatnya begitu ye? Semenjak nabi terdahulu sehinggalah nabi yang penghabisan kenapa dimulakan dengan golongan yang sebegini? Ini nak menunjukkan yang berkuasa untuk mentadbir bukanlah golongan yang kuat dari serba serbinya tetapi menunjukkan bahawa penghakiman kekuasaan hanyalah Allah S.W.T walaupun yang bersama dengan agama Allah orang-orang yang dianggap lemah dan hina dina. Golongan perjuangan mana yang agaknya mewarisi tabiat perjuangan nabi terdahulu yang dimulai dengan golongan hina dina seperti ini dan bilangan mereka boleh dikira dengan jari? Anda juga bebas meletakkan golongan manakah mereka. Kenapa nabi tidak bertindak sendirian sebaliknya membina satu gagasan pengikut “hard core” yang akhirnya bertambah dari semasa ke semasa? Sebab nabi nak bawa rahmat ke seluruh alam bukannya sekadar di Mekah dan nak kalau boleh semua umatnya masuk syurga bersama-sama bukan sorang-sorang baginda je, dan mungkin juga kerana nabi tahu nak membuat nahi mungkar apa sangatlah kuasa yang ada padanya untuk menghadapi jahiliyyah yang sangat dahsyat itu. Golongan manakah yang besar wawasannya seperti nabi iaitu nak melihat alam keseluruhannya tunduk kepada pencipta alam maya yang maha berkuasa dan mahu menarik pula tangan-tangan yang menyimpang ke neraka untuk ditarik masuk ke syurga, bahkan mahukan satu gagasan yang kuat dan bukan individu untuk mencegah kemungkaran jahiliyyah moden kini? Anda juga bebas meletakkan golongan mana. Langkah seterusnya nabi berdakwah secara terang-terangan sehingga nabi dan pengikutnya diseksa ,dibokot, diancam bunuh, dibuat sekatan ekonomi, dihina dan pelbagai lagi hanya nak menyatakan “Sembahlah Allah dan jangan melakukan apa yang Allah larang dalam masyarakat”. Kenapa nabi tak terus duduk di zon selesanya yang mana orang Mekah sebelum ini menyayanginya tetapi memilih untuk menjalankan perintah Allah supaya berterus terang dalam dakwahnya? Nabi tidak bertindak “play safe” kerana ini arahan Allah, kemudian bayangkan kalau nabi terus “play safe”. Adakah kita di Malaysia dapat menerima rahmat seruan Islam ini? Golongan atau puak manakah yang sentiasa mengalami nasib seperti pengikut nabi dan kalau boleh disenaraikan apakah salah mereka dari sudut seruan mereka untuk masyarakat mengikut Quran dan Sunnah sehingga mereka ditekan begitu rupa? Islam sentiasa jelas samada syurga atau neraka, dosa atau pahala, haram mahupun halal. Tiada yang kabur mengenainya khususnya amalan jahiliyyah yang semua mengetahui akan kekejiannya. Anda sekali lagi bebas meletakkan siapkah mereka? Nabi dan pengikutnya tidak hanya memikirkan periuk nasi mereka justeru bertindak seolah haiwan yang hanya tahu hidup untuk makan, minum, rehat, kahwin, kerja cari makan, balik. Golongan manakah yang sentiasa memikirkan nafsu dunia dan binatangnya sahaja tanpa memikirkan masalah ummah dan kesusahan serta penderitaan orang lain? Anda juga bebas melabelkan siapakah mereka. Tahun kesedihan dengan kematian isteri baginda Khadijah R.A dan pakciknya Abu Talib serta dakwah yang ditolak dengan begitu hina oleh penduduk Mekah dan Toif sebelum berlakunya Israk dan Mikraj adalah antara harga yang perlu dibayar oleh nabi dan pengikutnya demi melihat rahmat Islam sampai keseluruh alam. Tapi malangnya ada dikalangan kita yang seolah buta, seolah pekak, seolah tiada hati dan perasaan membiarkan orang yang menjalankan tugas nabi ini terkial-kial menongkah arus jahilyyah moden sedangkan dia boleh duduk berehat santai bersama keluarga di depan televisyen makan minum dan gelak ketawa di atas penderitaan orang lain bahkan mengeji pula dengan seribu kejian bahawa golongan yang menjalankan tugas nabi dan rasul ini sebagai bodoh, lemah, tak berstrategi, cari penyakit dan sebagainya. Ya Rasulullah apalah sangat sumbangan kami untuk Islam berbanding dirimu yang berdarah, diancam, dikeji dan diseksa hanyasanya untuk melihat umatmu yang hina dina ini sejahtera di akhirat kelak. ”Ummati, Ummati, Ummati”. Siapakah golongan itu dan ini? Bak kata Nabil Raja Lawak “Lu Pikir la sendiri, Assalamualaikum” |