|
“Ko tak puasa ke bulan Rejab ni, satu Rejab lagi!!.Semua orang puasa tau.. Aduh terasa hina pulak bila dialog tu dilemparkan ke diri yang memang sudah sedia hina ini. Inilah dialog yang kadang-kadang sedikit mengganggu fikiran ini... Bukan kerana puasa tu, tetapi pemikiran manusia yang berfikiran sedemikian rupa. "Kenapa agaknya ya?” Saya cuba memecahkan kebuntuan itu itu dengan perenggan-perenggan berikut.
Pertama ibadah yang cukup mulia itu dihiasi dengan jarum halus dari syaitan yang cuba memperdaya orang soleh dalam amalannya iaitu syirik khafi atau syirik yang tersembunyi seperti riak yang suka menunjuk-nunjuk amalannya kepada orang lain dengan cara perbuatan atau percakapan, Ujub yang merasa takjub kepada kehebatan amalannya berbanding orang lain dan yang lebih malang lagi takabbur pula dengan amalannya. Daripada nak buat amalan yang baik terus bertukar kepada kemurkaan Allah dan sia-sia. Tetapi apa pun ini soal hati hanya Allah sahaja yang tahu. ”Baik sangka la sikit Zamri”.. Keduanya, kenapa mesti bulan Rejab? Adakah bulan lain tak besar pula ganjarannya? Atas dasar apa mereka ini berpuasa bulan Rejab dan mengagungkannya berbanding bulan lain sampai dapat email pula kelebihan hari-hari puasa di Bulan Rejab ala-ala macam fadhilat solat Tarawih bulan Ramadhan yang lebih kurangnya mengatakan sembahyang hari pertama seperti bayi yang baru dilahirkan, hari berikutnya seperti mati syahid dan berikutnya akan masuk syurga Firdaus bersama para anbiyak. Fuh besar betul fadhilatnya. Kalaulah si penjenayah yang lengkap pakej maksiatnya seperti merompak, merogol,tidak solat, minum arak dan seumpamanya mula berkira-kira untuk menghapuskan dosa-dosanya dengan mudah, mungkin akan memegang hujah dan fadhilat yang disebar-sebarkan ini tanpa perlu bertaubat nasuha dan membuat perkara-perkara yang wajib yang Allah telah perintahkan ke atas hambanya. Maka si penjenayah mungkin akan berpuasa pada satu Rejab dan solat Tarawih pada hari-hari tertentu dengan keyakinan bahawa dosanya akan terhapus seperti yang didakwa oleh hadis tadi. Jenayah besar tu dalam agama. Dan dalam perkara Ibadah khusus atau ritual, umat Islam mestilah Taa’bud iaitu mengikut apa yang Allah dan Nabi ajarkan tanpa melihat kepada hikmah disebaliknya dan tidak boleh dicipta-cipta. Lalu segala rujukan diselak, ada tak hadis spesifik yang kuat mengatakan berpuasa pada hari-hari tertentu pada bulan Rejab termasuk dalam senarai puasa-puasa sunat? Rupa-rupanya semacam tiada melainkan berasaskan kepada umum hadis sahaja iaitu Imam Nawawi dalam kitabnya yang masyhur Riadhus Solihin dalam satu bab yang menerangkan kelebihan puasa Muharram, Syaa’ban dan Bulan-Bulan Haram yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sohihnya berbunyi; {Sebaik-baik puasa selepas Ramadhan ialah bulan Allah yang Muharram (yang diharamkan iaitu Rejab, Zulqaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan sebaik-baik solat selepas solat fardhu yang lima ialah solat malam.} Soalannya, kenapa bulan Haram yang lain dianaktirikan oleh kita? Mana perginya fadhilat puasa bulan Zulkaedah, Zulhijjah,dan Muharram? Itu je persoalannya. Kemudian takut pula orang akan membesarkan sesuatu yang sunat berbanding perkara yang wajib itu sendiri, sedangkan seribu atau lebih pahala sunat takkan sama sekali dengan satu sahaja amalan wajib. Timbul pula soalan puasa 3 bulan berturut-turut. Bukan marah kalau nak beramal dengan umum lafaz hadis seperti di atas tadi, tapi timbul persoalan pula tak penat ke nanti bila sampai bulan Ramadhan? Sedangkan bulan Ramadhan la nak pulun betul-betul sebab dia wajib, tapi kalau badan dah lemah sebab puasa 2 bulan berturut-turut sebelumnya macammana? Bahkan ada hadis sohih yang melarang orang yang tidak biasa puasa pada sebelum separuh daripada Syaa’ban(Nisfu Syaa’ban) dilarang puasa selepasnya kerana dikhuatiri akan lemah menghadapi bulan Ramadhan yang agung itu. Dimana pula nak campak fadhilat bulan Syaaban yang spesifik menyatakan nabi seakan puasa penuh pada bulan Syaa’ban ni, kenapa tidak ditekankan pula? Bahkan dimana pula nak letak hadis yang menyatakan bulan yang umat biasa leka untuk merebut peluang amalan bulan ini ialah bulan antara Ramadhan dan Rejab iaitu Syaa’ban. Tetapi kenapa kita selalu bertentangan seolahnya dengan apa yang nabi utamakan.? Itu je. Tak haram pun nak puasa Rejab. Oleh itu cuba-cubalah kita bersama menekankan untuk mengambil hadis yang Hasan atau Sohih pasti keyakinannya lain macam insyaAllah, sebab ia boleh dijadikan hujjah tanpa keraguan. Kalau nak ambil hadis dhoif pun boleh, tapi ada 3 golongan ulamak yang berbeza sedikit tentang hadis dhoif(lemah) ini. Golongan pertama mengambil terus, kedua yang menolak terus dan yang ketiga mengambil hanya pada fahilat-fahdilat amalan yang bertujuan untuk merangsang supaya beramal, itupun dengan syarat jangan diambil hadis yang terlalu dhoif. Golongan ketiga inilah yang majoriti dan lebih selamat untuk dipraktikkan. Biasanya hadis yang terlalu dhoif akan bercirikan ganjaran-ganjaran yang melampau-lampau seperti cerita saya tentang penjenayah yang mahu bertaubat di atas tadi. Kesimpulannya ialah: pertama, jangan beramal ikut-ikut orang tanpa keyakinan. Keduanya, jangan beramal sampai pahala hilang tanpa disedari kerana Syirik Khafi tadi. Ketiga, utamakan apa yang utama dahulu iaitu wajib sebelum sunat dan jangan juga menganaktirikan perkara-perkara sunat lain dengan tidak seimbang sehingga menutup kelebihan amalan sunat lain. Keempat, tambahkanlah ilmu kita dari semasa ke semasa khususnya ilmu Fardhu Ain yang wajib bagi setiap muslim. Takdela lepas ni asyik tanya ustaz je, sebab kita semuanya patut jadi ustaz dalam perkara Fardhu Ain ni. Kelima, jangan asyik salahkan orang je dengan berkata “itu dan ini tak betul!” tanpa ilmu kerana orang yang jahillah sebenarnya yang suka bergaduh dan tidak terbuka serta tidak suka menerima pandangan orang lain (ta’asub).  Dan jadilah orang yang realiti bukan ilusi dengan hanya cintakan dan cakna dengan sahabat Islam yang menderita di Palestin sedangkan dia buat tak kisah dengan sahabat Islam di negara sendiri, (kecualilah untuk pekhususan kerja/ pembahagian kepakaran atau tugas).
Samalah kesnya cintakan sembahyang di masjid dan surau sedangkan dalam masa yang sama seolah merelakan kemungkaran dan kezaliman berleluasa disekelilingnya bahkan nauzubillah menyokongnya pula. Itu bukan sunnah perjuangan nabi tapi sunnah perjuangan nabi ialah Islam dalam seluruh kehidupannya, bukan sekadar ibadahnya. Baginda S.A.W menjadi ketua negara Madinah, malah baginda juga manusia yang paling takutkan Allah ditengah malamnya, baginda orang yang tegas dalam kemaksiatan kepada Allah dan berakhlak lembut bin hikmah dalam menghadapi orang yang nak Islam tetapi tak nak tinggalkan tabiat berzina dan mencuri. Dan sunnah perjalanan seperti ini akan ditentang oleh orang yang berperangai macam Abu jahal dan seterunya. Ketahuilah sesungguhnya perjalanan yang semacam ini juga biasanya perjalanan yang berliku dan bukannya yang dihampari dengan permaidani merah. |