|
bergambar bersama Syeikh Syuaib Arnout ketika menuntut di Jordan Diriku teringat kepada seorang Syeikhku di Jordan yang sentiasa didatangi untuk menimba ilmu Allah yang maha luas. Kelebihan Syeikh ini iaitu Syeikh Syuaib Arnout yang berasal daripada Albania yang kini menetap di Jordan dengan umur yang mencecah hampir 80 tahun merupakan pakar dalam bidang Hadis dan tidak kurang juga kehebatannya dalam ilmu Feqah.
Syeikh merupakan antara orang yang alim, dimana beliau berjaya menggabungkan dua kepakaran ini serentak di mana dengan hanya mendengar hadis sahaja beliau sudah tahu martabat kesahihan hadis tersebut bahkan orang yang meriwayatkan hadis juga diketahui satu persatu latar belakang mereka sehingga boleh menghukum adakah hadis yang diriwayatkan oleh periwayat tersebut soheh atau dhoif. Satu yang agak menjadi titik hitam dalam hidupnya yang mana dia agak sedikit sensitif dengan golongan sufi tasawwuf yang mungkin setakat yang ditemuinya sesat dan jauh dari syariat..Wallahu A’lam. Tetapi perkara yang ingin diutarakan di sini adalah berkenaan kenyataannya mengenai dua perkara, iaitu berkenaan dunia seni dan media yang membuatkan diri ini sentiasa terfikir sehingga kini. Dalam hebatnya ilmu yang ada pada Syeikh memberikan komentar yang ku sangkakan seperti biasa tetapi ternyata sangkaanku meleset. Nak tahu apa dia?.. Iaitu komentarnya tentang satu filem yang mengesahkan tentang Riwayat Ibnu Taimiyyah yang memberikan kesan yang mendalam dalam kehidupannya, manakala yang kedua ialah sokongannya tentang penyertaan peserta wanita dalam tilawah al-Quran di Malaysia. Saya tak berniat untuk mengupas tajuk ini dari perspektif hukum yang sememangnya ada khilaf dan percanggahan pendapat tetapi seperti biasa dari sudut dakwah dan realiti. Pertama, tentu kita terfikir boleh ke pelakon yang berlakon tu bercampur lelaki dan perempuan? Dan soalan kedua, tentunya takpe ke suara perempuan yang bertarannum dikhalayak ramai?. Jawapan Syeikh yang membenarkannya sudah tentu membayangkan serba sedikit tentang keharusannya, tetapi sekali lagi saya tak mahu mengulasnya dari sudut hukum.
Dunia hari ini menyaksikan perkembangan yang cukup pesat dalam dunia maklumat mahupun hiburan. Kalau Islam membenarkan hiburan yang pastinya mempunyai garis panduan tertentu, di mana pula alternatifnya? Adakah sekadar persembahan yang kaku bagai melepaskan batuk ditangga dan adakah boleh menyaingi hiburan terlarang yang sedia ada? Media massa sangat memainkan peranan penting dalam pembentukkan pemikiran rakyat di sesebuah negara. Ia akan ditiru, dijadikan hujjah, bahkan fenomena yang dahsyat. Bayangkan dulu TV dianggap elite bagi siapa yang memilikinya tetapi sekarang seakan kemestian, begitu juga internet yang dulu seperti bukan keperluan dan sekarang sebaliknya.Tak kurang juga dengan telefon mudah alih.  Adakah boleh kita membuang perkara-perkara ini? Yang mana ianya boleh dikatakan ada pada setiap orang hatta seorang yang miskin. Maka teknologi ini jelasnya seperti sebilah pisau yang mana ia boleh menjadi manfaat apabila digunakan untuk memotong ayam, menyiang ikan, sayur dan seumpamanya, dan dalam masa yang sama boleh juga menjadi mudharat apabila ia digunakan untuk membunuh atau mengancam seseorang. Imanlah yang menapisnya untuk dipilih atau dibuang. Boleh untuk kita nak menyalahkan pihak-pihak tertentu dalam berlakunya kebejatan akhlak dewasa ini kesan dari media dan persekitaran tetapi itu bukanlah sebaik-baik penyelesaian masalah. Sebaliknya, memikirkan masalah yang berlaku ini dalam ruang lingkup yang ada dan apakah yang boleh kita lakukan untuk menyelesaikannya. Jika tidak, ianya akan kekal retorik dan tak ubah seperti lagu bangau oh bangau yang sentiasa menyalahkan orang lain atas apa yang menimpanya kecuali ular yang berani mengambil tanggungjawab dan mengakui perbuatannya. Sikap yang ditunjukkan oleh ular itulah sikap proaktif yang perlu diambil contoh oleh semua pihak. Sesungguhnya dewasa ini kita ketandusan idola dan manusia model yang boleh menjadi ikutan masyarakat, berbanding contoh negatif yang bertaburan di sana-sini. Bahkan kita sedia tahu perkara yang negatif ini lebih mudah merebak berbanding perkara baik. Cuba kita tonjolkan model dan qudwah hasanah ini kehadapan melalui wasilah media tadi. Justeru, bayangkan jika teknologi yang berada di depan kita ini kita jadikan seperti pisau yang memotong makanan tadi..perghh sudah pastinya hebat!!.. Alat yang cuba diatur oleh musuh untuk menjahanamkan umat Islam pada asalnya mungkin tiba-tiba menjadi senjata yang memakan tuan. Rakyat akan kenal siapa Ibnu Taimiyyah, rakyat mahu mengaji dan benci menyanyi nyayian terlarang, boleh jangan lupa lirik yang liriknya itu doa-doa yang diajar nabi atau nasyid-nasyid yang menaikkan semangat jihad, dakwah dan ketuhanan. Boleh mendengar cerita yang santai tentang para nabi dan tokoh Islam yang terbilang dan banyak lagi. Soalannya siapa nak buat semua ini?. Bila ada yang nak buat dibidas habis-habisan, itu tak kena, ini tak kena, sedangkan perkara itu tidak pun qat’ie dan pasti dalam syarak serta masih adanya perbahasan berkenaan pro dan kontranya sepanjang zaman. Akhirnya ianya terkubur dan terus kaku malah stereotype dan akhirnya manusia kembali kepada hiburan dan info yang terlarang tadi. Sehingga menjadi satu yang semakin tepat dakwaan ustaz/pendakwah jumud, tak pandai mengikut masa, asyik nak menghukum, tak beri jalan keluar dan alternatif yang akhirnya yang lebih dikhuatiri mereka memandang Islam dengan begitu negatif dan sempit sekali. Perkara ini saya pandang dari sudut realiti dan bukan ideal dan angan-angan semata yang mungkin beginilah agaknya bunyi angan-angan itu: Semua orang akan meyembah hanya Allah yang satu, tiada seorang pun yang mendedahkan aurat, semua rancangan TV menuju kepada kebesaran Allah dan pengagunganNya. Walaupun saya yakin benda ini akan berlaku ketika turunnya Nabi Isa dan Imam Mahdi nanti, tapi saya sekarang berada di dunia realiti pada hari ini, dan bukannya di zaman yang aman damai seperti di zaman Nabi Isa dan Imam Mahdi nanti. Bukankah nabi ada menyebut: {Seorang Mukmin yang menggauli manusia dan sabar atas kejahatan mereka adalah lebih baik daripada seorang Mukmin yang tidak menggauli manusia dan sabar atas kejahatan mereka} - maksud Hadis Sahih Justeru itu, teruskan perjuanganmu duhai sahabatku Ustaz Hasrizal dan mereka yang seiring dengannya dalam memastikan manusia melihat Islam dengan pandangan yang sejahtera dan bukannya pandangan negatif terhadap perangai dan sikap umat Islam yang boleh membantutkan kecantikan Islam itu sendiri.
|