|
Rasanya agak keberatan untuk menukilkan apa yang tersimpan dalam diri ini, tetapi rasanya perlu untuk diluahkan sebagai melepaskan emosi yang bercelaru dan yang lebih penting lagi dakwah bagi menampakkan lagi cantiknya sistem dan akhlak Islam. Banyak kali penulis buku dikalangan mereka yang terkenal khususnya rakan seperjuangan dalam dakwah ini sudah mula tidak percaya kepada penerbit buku dan tidak kurang juga terhadap penerbit bahan audio seperti CD atau DVD.
Ini berpunca daripada royalti yang tidak dibayar seperti dijanjikan, hilang hak cipta karya dan lesap tidak diketahui walaupun penerbit sudah mengaut untung berganda daripada hasil pengkarya yang serik tadi. Apabila diperhalusi semula, memang sekali imbas nampak seolah-olah ia adalah salah pihak penerbit, tetapi tidak kurang juga kesalahan itu datang daripada karyawan yang tidak peka dengan apa yang dinamakan dengan kontrak atau akad bertulis. Nah..apabiila ditanya “Ada tak ustaz sebarang dokumen yang menyatakan perkara ini sebagai bukti? ” Ustaz ini menggelengkan kepala. ”Habistu, macam mana nak bawa perkara ni ke tengah atau pihak berkuasa?” Ustaz terdiam seolah mengaku kesilapannya. Inilah masalah kita yang mudah sangat percaya janji atas angin. Hari ni terbaca pula paper seorang mahasiswi rugi RM10 ribu lebih downpayment kereta VIVAnya yang didapati rupa-rupanya agen tersebut menipu dan menghilangkan diri setelah menerima wang deposit sebanyak itu. Segala yang berkaitan dengan kewangan, lagilah perlu berwaspada, kena pastikan akad hitam putihnya ada dan jangan mudah memberi kewangan tanpa sebarang bukti berdokumen yang wang itu selamat kepada pihak yang sepatutnya. Samalah juga kesnya orang yang meminta khidmat ceramah. Sepatutnya ada persetujuan di pihak penceramah secara pasti dan dicatat mungkin di diari tanda comfirmation barulah penganjur boleh nak menaikkan banner, edaran dan seumpamanya, bukan hanya cukup sekadar bertanya bila tarikh ustaz free dan terus mengganggapnya jadi dan comfirm boleh menghadirkan diri. Bila nak bukan khidmat masyarakat dan dinamakan perkhidmatan professional jangan sesekali lupa untuk bertanya akad jual belinya yang diajarkan oleh Islam supaya tiada unsur gharar dan ketidakpastian. Inilah yang sering melanda sahabat-sahabatku yang pening kepala apakah beza antara tujuan untuk berdakwah dan keperluan untuk hidup. Moh kita bayangkan sebentar bagaimana situasi ini jika terjadi. Ada dikalangan pendakwah yang datang sejauh KL- Kelantan tetapi akad yang tidak dimeterai mengakibatkan duit minyak pendakwah inipun tidak lepas untuk ditanggung . Ada juga pendakwah yang menanggung malu kerana muka telah dijaja ke sana sini untuk datang berprogram, rupanya pendakwah tadi tidak tahu-menahu pasal program ini lantaran tiada comfirmation tadi. Tidak kurang juga kepada pihak penganjur yang malu besar kerana orang yang dijanjikan tidak datang dan akhirnya untuk menutup malu di kata “ustaz ni memang selalu ada masalah disiplin” sedangkan hakikatnya dia yang tak berdisiplin. Teringat saya kepada perumpamaan cerita Dato’ Ismail kamus diantara dua kawan baik. Si A meminta kawan baiknya B, untuk menebas di belakang rumah, B bertanya “berapa upahnya?” Jawab A “Alah ko kan kawan baik aku, itupun nak berkira, tebas je nanti aku bayar la”..Habis menebas bagai nak putus urat kentut si B, tiba-tiba upah yang diberi hanya sebanyak RM20. Bayangkan, mungkin A dan B tadi akan bermusuhan dan timbul prasangka yang buruk sesama sendiri hasil daripada akad yang tidak jelas. Begitu juga dengan kes royalti yang mungkin juga tidak mampu di bayar oleh penerbit kerana janji yang tidak realistik. Semuanya ini sekali lagi dinamakan masalah dokumentasi dan akad. Teringat saya juga kepada kes seorang YB DUN yang sering orang berjumpanya untuk meminta peruntukkan nak buat itu dan ini tanpa kertas, sering beliau mengabaikannya tetapi sesuatu cadangan yang disediakan dengan kertas biasanya dikembalikan semula dengan “kertas”.Saya memuji ada sesetengah mereka yang mahukan comfirmation pun sampai memberi surat dan difaxkan atau email kepada penganjur. Inilah juga yang pernah dibangkitkan oleh sahabat saya, di dalam laman web beliau Zaharuddin.net yang membidas para doktor yang adakalanya yuran perkhidmatan dan ubat tidak diketahui harganya lebih awal oleh pesakit sehingga wujud prasangka “cukup ke duit aku nak pergi klinik ni?”. Berapa pula agaknya doktor nak cekik aku ni”?. Islam amat menekankan tentang akad ini sehingga menjadi syarat sah jual beli sehinggakan ayat berkenaan hutang dan kewanganlah yang paling panjang di dalam al-quran kerana Allah Maha Mengetahui tentang perangai manusia yang banyak pertikaian mereka dari sudut harta. Dan tidak kurang juga suruhan menulis tentang hutang yang dibuat dan penyaksian kepada dokumen hutang ini. Begitulah pentingnya akad dan persetujuan di dalam Islam sebagaimana yang telah disebut oleh Allah dalam ayat berikut: "Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermu'amalah[1] tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya. dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menuliskannya dengan benar. dan janganlah penulis enggan menuliskannya sebagaimana Allah mengajarkannya, meka hendaklah ia menulis, dan hendaklah orang yang berhutang itu mengimlakkan (apa yang akan ditulis itu), dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangi sedikitpun daripada hutangnya. jika yang berhutang itu orang yang lemah akalnya atau lemah (keadaannya) atau dia sendiri tidak mampu mengimlakkan, Maka hendaklah walinya mengimlakkan dengan jujur. dan persaksikanlah dengan dua orang saksi dari orang-orang lelaki (di antaramu). jika tak ada dua oang lelaki, Maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu ridhai, supaya jika seorang lupa Maka yang seorang mengingatkannya. janganlah saksi-saksi itu enggan (memberi keterangan) apabila mereka dipanggil; dan janganlah kamu jemu menulis hutang itu, baik kecil maupun besar sampai batas waktu membayarnya. yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih menguatkan persaksian dan lebih dekat kepada tidak (menimbulkan) keraguanmu. (Tulislah mu'amalahmu itu), kecuali jika mu'amalah itu perdagangan tunai yang kamu jalankan di antara kamu, Maka tidak ada dosa bagi kamu, (jika) kamu tidak menulisnya. dan persaksikanlah apabila kamu berjual beli; dan janganlah penulis dan saksi saling sulit menyulitkan. jika kamu lakukan (yang demikian), Maka Sesungguhnya hal itu adalah suatu kefasikan pada dirimu. dan bertakwalah kepada Allah; Allah mengajarmu; dan Allah Maha mengetahui segala sesuatu." [1] Bermuamalah ialah seperti berjualbeli, hutang piutang, atau sewa menyewa dan sebagainya.
|